Friday, October 30, 2009

Hakcipta Buku-buku PTS


Pada amnya, PTS mengamalkan dasar tidak membeli hakcipta buku-buku yang diterbitkannya.

Dengan demikian hakcipta buku-buku terbitan PTS kekal dimiliki oleh penulis.

PTS hanya melesen daripada pengarang hak menerbitkan karya-karya mereka. Maksudnya pengarang memberikan izin kepada PTS bagi menerbitkan, mengedar, dan menjual buku-buku mereka.

Hanya dalam kes tertentu sahaja penulis menjual hakcipta kepada PTS. Sebagai contoh, bagi buku-buku yang kandungannya tidak tahan lama dalam pasaran.


Thursday, October 29, 2009

Hak Penerbitan


Walaupun penulis-penulis PTS memegang hakcipta karya mereka, tetapi PTS memegang hak penerbitan karya penulis PTS, selama tempoh hakcipta.

Selepas 3 tahun, penulis boleh memohon kepada PTS bagi menyemak persetujuan dalam perjanjian.


Wednesday, October 28, 2009

Hak Pengarang PTS Membatalkan Perjanjian


Pengarang PTS boleh membatalkan perjanjian penerbitan apabila PTS gagal memenuhi terma-terma dalam perjanjian.

Caranya:

1. Tulis surat notis kepada PTS bahawa pengarang berhasrat mahu membatalkan perjanjian itu.

2. Sebutkan terma-terma yang dilanggar oleh PTS.


Tuesday, October 27, 2009

Perjanjian Terbatal Secara Automatik


Semua perjanjian penerbitan antara PTS dengan pengarang terbatal secara automatik apabila berlaku keadaan berikut:

1. Seandainya PTS muflis.

2. Sandainya PTS dibubarkan.

3. Seandainya PTS menghadapi masalah dalam urusan pembayaran hutang-hutangnya sehingga ada aset PTS yang terpaksa dipindahmilik kepada penghutang.

Nota: Terma di atas adalah bagi menjamin harta inetelek pengarang-pengarang PTS tidak dapat dipindahmilikkan kepada penghutang PTS, seperti syarikat pencetak ataupun bank-bank.


Monday, October 26, 2009

Hak Memperdagangkan Karya Penulis


PTS mempunyai hak-hak berikut ke atas karya penulis PTS;

1. Hak menterjemah ke dalam semua bahasa dunia.

2. Hak melakukan adaptasi ke dalam buku komik, buku elektronik, animasi dll.

3. Hak menerbitkan semula dalam bentuk bersiri.

4. Hak menghasilkan bentuk drama pentas, filem, radio dan televisyen.

5. Hak melesenkan semula kepada penerbit lain.

Nota: Ini bermakna, sebagai contoh, jika ada mana-mana pihak hendak membuat filem ataupun animasi berdasarkan buku penulis PTS, penulis tidak boleh memberikan izinnya kepada pihak itu.

Penulis hendaklah memaklumkan perkara itu kepada PTS dan PTS akan merundingkannya bagi pihak penulis.


Sunday, October 25, 2009

Hak Mengeksport Lesen Penerbitan Buku PTS ke Jakarta


PTS aktif mempromosi judul-judul terbitannya kepada pelbagai penerbit Indonesia supaya mereka berminat melesen judul PTS bagi diterbitkan semula sebagai edisi Indonesia.

Ini dilakukan setiap tahun dengan cara menghantar pegawai-pegawai PTS ke Jakarta, Bandung, Surabaya dan Jogjakarta bagi berjumpa dengan penerbit Indonesia dan menunjukkan buku-buku PTS kepada mereka.

Pada saat entri ini ditulis, hampir 100 judul buku PTS sudah dilesenkan ke Jakarta.

Yuran pelesenan yang diterima daripada penerbit Indonesia dikongsi seperti berikut:

Pengarang PTS: 70%
PTS: 30%


Saturday, October 24, 2009

Hak Karya Bersaing


Penulis tidak mempunyai hak menulis untuk penerbit lain sebarang buku yang lebih kurang serupa isi kandungannya dengan bukunya yang diterbitkan oleh PTS.

Jika buku baru itu bertindan, maka hanya PTS yang berhak menerbitkannya.