Wednesday, December 30, 2009

Rancangan Masa Hadapan PTS


PTS mempunyai 2 target utama:

(1) Menjadi penerbit yang menerbitkan 1000 judul baru setiap tahun.

(2) Menjadi korporat yang sahamnya didagangkan di Bursa Saham Kuala Lumpur.


Tuesday, December 29, 2009

Dasar-Dasar Perniagaan PTS


Dalam menjalankan bisnesnya PTS berpegang kepada prinsip-prinsip berikut:

(1) Bebas daripada rasuah.

Ini bermakna pegawai-pegawai PTS tidak akan merasuah mana-mana pihak dalam kerajaan bagi tujuan mendapatkan kontrak kerajaan, ataupun merasuah pegawai bank bagi mendapatkan kemudahan kewangan, ataupun merasuah kontraktor buku, ataupun sesiapa sahaja bagi tujuan apa-apa sahaja.

Ini juga bermakna pegawai-pegawai PTS tidak akan meminta bantuan dan jasa baik daripada mana-mana individu yang mempunyai kuasa membuat keputusan yang menguntungkan bisnes PTS.

Ini juga bermakna pegawai-pegawai PTS tidak akan menerima ataupun memberi layanan istimewa kepada mana-mana penulis, editor freelance, ilustrator freelance, pencetak dan pembekal PTS.

(2) Mengaplikasikan pengurusan cara Islami.

Ini bermakna PTS membayar zakat perniagaan pada setiap bulan berdasarkan jumlah kutipan hutang, dan PTS mengeluarkan bantuan kepada anggota masyarakat yang layak menerima zakat dan bantuan.

Ini juga bermakna pegawai-pegawai PTS tidak melakukan perkara seperti pilih kasih dan memberi layanan istimewa kepada orang bawahan, kepada penulis, kepada petugas freelance, kepada pembekal, kepada kontraktor, kepada pengedar dan kedai buku, dan mana-mana individu yang mempunyai kepentingan.

Ini bermakna pegawai-pegawai PTS membuat semua keputusan berdasarkan SOP (standard operating procedure) yang ditetapkan oleh pengurusan.

(3) Bekerjasama dan saling bantu-membantu dengan penerbit-penerbit lain.

Ini bermakna PTS tidak melakukan perkara-perkara yang merugikan bisnes rakan-rakan sesama penerbit buku.

Etika Memberi Hadiah kepada PTS:

1. PTS tidak membenarkan mana-mana pihak memberi hadiah kepada individu yang bertugas sebagai pegawai PTS, seperti hadiah harijadi, hadiah menyambut kelahiran anak, dan seumpama itu, kerana ia boleh menimbulkan kesan rasa terhutang budi.

2. PTS tidak membenarkan mana-mana individu mengajak pegawai PTS makan dan minum di restoran mahal.

3. PTS tidak membenarkan mana-mana pihak yang menerima cek pembayaran royalti, upah ataupun hutang dari PTS, memberi hadiah kepada pegawai PTS, ataupun mengajaknya keluar makan.

4. PTS hanya membenarkan hadiah diberikan kepada semua pegawai PTS sempena hari-hari perayaan istimewa seperti Hari Raya. Contoh hadiah itu adalah hamper yang dapat dimakan beramai-ramai oleh pegawai-pegawai PTS.


Thursday, December 24, 2009

Sikap Bisnes PTS


PTS adalah sebuah penerbit yang sangat komersial.

PTS sangat mementingkan keuntungan daripada jualan buku-buku yang diterbitkannya.

Hanya buku-buku yang laku dijual di kedai-kedai buku sahaja yang diterima oleh PTS.

Bagi mengawal risiko kerugian akibat menerbitkan buku-buku yang kurang laris, PTS sentiasa menganalisis trend-trend terkini pasaran buku-buku Melayu.

Justeru PTS merancang judul-judul yang akan diterbitkannya sesuai dengan trend pasaran.

Inilah faktor yang menyebabkan PTS menolak 90% manuskrip yang dihantar oleh penulis dengan tidak merujuk kepada PTS terlebih dahulu atas dasar manuskrip itu tidak memenuhi kehendak kedai-kedai buku.


Wednesday, December 23, 2009

PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd


PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (PTS P&D) adalah anak syarikat PTS yang menjadi pengedar tunggal kepada semua buku yang diterbitkan oleh anak-anak syarikat PTS.

Anak-anak syarikat PTS yang lain hanya menerbitkan buku sahaja. Buku-buku itu kemudian terus dihantar ke gudang PTS P&D.

PTS P&D tidak mengedarkan buku-buku penerbit lain.

Semua permohonan bagi menjadi agen buku-buku PTS diuruskan oleh syarikat ini.

Nama pegawai penting:

1. Pengurus: Tn. Nazrul Samsudin Emel: nazrul@pts.com.my HP: 016 66611491

2. Timb. Pengurus: Pn. Asma Fadila Habib Emel: asmafadila@pts.com.my HP: 016 6611462


Tuesday, December 22, 2009

PTS Millenia Sdn. Bhd.


PTS Millenia Sdn. Bhd. adalah anak syarikat PTS yang menerbitkan buku-buku bacaan umum seperti:

1. Buku-buku motivasi

2. Buku pembangunan diri

3. Komik-M

4. Buku resipi

5. Buku agama kontemporari

6. Buku untuk bacaan umum yang kontemporari

7. Buku wanita

8. Buku hobi

Buku-buku yang diterbitkan oleh PTS Millenia adalah
karya asal penulis Malaysia ataupun terjemahan daripada bahasa Inggeris dan Bahasa Indonesia.

Nama pegawai penting:

Pengurus: Cikpuan Ashikin Wahid. Emel ashikin@pts.com.my HP: 016 6611466


Monday, December 21, 2009

PTS Professional Sdn. Bhd.


PTS Professional Sdn. Bhd. adalah anak syarikat PTS yang menerbitkan buku-buku bisnes, pengurusan dan pendidikan.

Anak syarikat ini juga menerbitkan buku-buku motivasi bisnes dan profesion bagi pembaca remaja dalam bentuk fiksyen.

Kategori buku yang diterbitkan adalah:

1. Panduan menjalankan pelbagai jenis bisnes.

2. Panduan menguruskan syarikat.

3. Panduan menjadi ahli dalam bidang profesional.

4. Buku bisnes yang dituliskan secara fiksyen.

5. Buku bidang sains pendidikan.

6. Buku rujukan yang digunakan di sekolah.

7. Buku rujukan yang digunakan di universiti.

8. Buku kepimpinan dalam organisasi.

9. Kamus-kamus.

Nama pegawai penting:

Pengurus: Cikpuan Fatin Farhana Hassan Emel: fatin@pts.com.my HP: 016 6613345


Sunday, December 20, 2009

PTS Islamika Sdn. Bhd.


PTS Islamika adalah anak syarikat yang menerbitkan buku-buku agama Islam untuk semua peringkat.

Anak syarikat ini juga menerbitkan karya fiksyen yang menyampaikan mesej agama dan akhlak kepada kanak-kanak dan remaja.

Buku-buku agama terbitan PTS Islamika terdiri daripada 3 kategori:

1. Buku agama untuk dibaca oleh bukan Islam.

2. Buku agama untuk dibaca oleh orang Islam yang sangat lemah pengetahuan agamanya.

3. Buku agama untuk orang Islam yang sudah kuat agamanya.

Nama pegawai penting:

Pengurus: Tn. Imran Azmi. HP 0166611540. Emel: imran@pts.com.my


Friday, December 18, 2009

PTS POP Sdn. Bhd.


PTS POP Sdn. Bhd. adalah anak syarikat yang menerbitkan:

i. Buku-buku fiskyen dan bukan fiksyen khusus untuk bacaan lelaki dewasa dan remaja.

ii. Siri Komik-M

Nama pegawai penting:

Tn. Wan Zuhairi. Emel: wanzu@pts.com.my HP: 0166611549


Thursday, December 17, 2009

PTS Litera Utama Sdn. Bhd.


PTS Litera Utama Sdn. Bhd. adalah anak syarikat yang menerbitkan fiksyen untuk bacaan perempuan:

1. Novel-novel cinta Islami

2. Novel popular Islami

3. Novel terjemahan

Nama pegawai penting:

Pengurus: Tn Rohidzir Rais.
Emel: rohidzir@pts.com.my
HP: 016 6615254


Wednesday, December 16, 2009

PTS One Sdn Bhd.


PTS One Sdn. Bhd. adalah anak syarikat yang menerbitkan sastera kanak-kanak dan sastera remaja.

Nama pegawai penting:

Pengurus: Pn. Mazlia Murat.
Emel: mazlia@pts.com.my


Tuesday, December 15, 2009

PTS Darul Furqan Sdn. Bhd.


PTS Darul Furqan Sdn. Bhd. adalah anak syarikat yang menerbitkan pelbagai edisi al-Quran dan buku-buku tafsir Quran.

Nama Pengurus:

Tn. Faris Hasbullah. Emel: faris@pts.com.my HP: 016 6611475


Sunday, December 13, 2009

PTS Edar Sdn. Bhd.


PTS Edar Sdn. Bhd. adalah anak syarikat yang bertugas mengedarkan buku-buku PTS melalui saluran bukan kedai-kedai buku.

Pengurus PTS Edar adalah Tuan Ahmad Ridza Jailani.

HP: 016-661-8174

Emel: ridza@pts.com.my

PTS Book Cafe Sdn. Bhd.


PTS Book Cafe Sdn Bhd adalah anak syarikat PTS yang menjalankan bisnes menjual buku-buku PTS secara online dan menjalankan jualan buku secara pameran bergerak.

Nama pegawai penting: Cik Nurdianah Abdul Kader Malim

HP: 016-6611972

Emel: diana@pts.com.my

PTS NetMedia Sdn. Bhd.


PTS NetMedia Sdn. Bhd. menerbitkan buku-buku komputer, baik karya asli mahupun terjemahan.

Fokus penerbitan adalah buku-buku panduan aplikasi.

Pengurus: Puan Mazniza Mohd. Nor.

Emel: mazniza@pts.com.my

HP: 016 6611473


Budaya Kerja PTS


PTS adalah sebuah syarikat yang mengamalkan budaya kerja korporat. Dalam perkataan lain, PTS tidak mengamalkan budaya kerja 'towkay'.

Semua kerja dilaksanakan oleh pegawai-pegawai PTS dengan berpandukan Standard Operating Procedures (SOP).

Justeru:

1. PTS mempunyai kerenah birokrasinya sendiri, hanya sahaja kerenah itu sudah amat diminimumkan.

2. Kuasa-kuasa ahli lembaga pengarah PTS dipisahkan daripada kuasa-kuasa pegawai-pegawai eksekutif PTS.

3. Chairman PTS tidak mempunyai kuasa eksekutif, meskipun beliau merupakan pemegang saham PTS yang terbesar. Oleh itu Chairman PTS tidak akan membatalkan keputusan-keputusan yang dibuat oleh para pegawai PTS.


Tuesday, December 8, 2009

Pertindanan antara Anak-anak Syarikat PTS adalah Disengajakan


Antara anak-anak syarikat PTS berlaku pertindanan jenis buku yang masing-masing terbitkan. Sebagai contoh, semua anak syarikat PTS menerbitkan fiksyen.

Pertindanan ini adalah disengajakan, supaya setiap anak syarikat menggunakan daya kreativiti mereka bagi meneroka idea-idea baru.

Walaupun semua anak syarikat menerbitkan fiksyen, tetapi ada ciri-ciri yang berbeza antara isi kandungan dan gaya penulisan.


Wednesday, November 25, 2009

Dasar-Dasar Editorial PTS


PTS hanya menerbitkan buku-buku yang kandungannya mempunyai ciri-ciri berikut:

(1) Memandaikan bangsa.

(2) Mematuhi hukum syariah.

(3) Menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT)


Tuesday, November 24, 2009

Dasar Bahasa PTS


PTS hanya menerbitkan manuskrip yang ditulis sepenuhnya menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Ciri-ciri Bahasa Melayu Tinggi adalah:

(1) Menggunakan sistem ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

(2) Menggunakan tatabahasa yang standard sebagaimana yang digunakan dalam buku Tatabahasa Dewan. Semua ayat hendaklah ayat yang lengkap subjek-predikatnya.

(3) Kosa kata yang digunakan adalah kosa kata Bahasa Melayu standard, bukan bahasa dialek.

(4) Tidak menggunakan perkataan kontot seperti tak, nak, dah, tu, ni dan lain-lain.


Monday, November 16, 2009

Manual Bahasa untuk Editing


PTS mempunyai manual Bahasa Melayu Tinggi yang dijadikan panduan kerja-kerja mengedit manuskrip.

Para editor freelance PTS dilatih supaya mahir menggunakan manual itu.

Nota: Salah satu faktor yang menyebabkan bekas editor di syarikat penerbit lain tidak semestinya sesuai menjadi editor freelance di PTS adalah disebabkan mereka tidak berminat belajar menggunakan manual PTS.


Friday, October 30, 2009

Hakcipta Buku-buku PTS


Pada amnya, PTS mengamalkan dasar tidak membeli hakcipta buku-buku yang diterbitkannya.

Dengan demikian hakcipta buku-buku terbitan PTS kekal dimiliki oleh penulis.

PTS hanya melesen daripada pengarang hak menerbitkan karya-karya mereka. Maksudnya pengarang memberikan izin kepada PTS bagi menerbitkan, mengedar, dan menjual buku-buku mereka.

Hanya dalam kes tertentu sahaja penulis menjual hakcipta kepada PTS. Sebagai contoh, bagi buku-buku yang kandungannya tidak tahan lama dalam pasaran.


Thursday, October 29, 2009

Hak Penerbitan


Walaupun penulis-penulis PTS memegang hakcipta karya mereka, tetapi PTS memegang hak penerbitan karya penulis PTS, selama tempoh hakcipta.

Selepas 3 tahun, penulis boleh memohon kepada PTS bagi menyemak persetujuan dalam perjanjian.


Wednesday, October 28, 2009

Hak Pengarang PTS Membatalkan Perjanjian


Pengarang PTS boleh membatalkan perjanjian penerbitan apabila PTS gagal memenuhi terma-terma dalam perjanjian.

Caranya:

1. Tulis surat notis kepada PTS bahawa pengarang berhasrat mahu membatalkan perjanjian itu.

2. Sebutkan terma-terma yang dilanggar oleh PTS.


Tuesday, October 27, 2009

Perjanjian Terbatal Secara Automatik


Semua perjanjian penerbitan antara PTS dengan pengarang terbatal secara automatik apabila berlaku keadaan berikut:

1. Seandainya PTS muflis.

2. Sandainya PTS dibubarkan.

3. Seandainya PTS menghadapi masalah dalam urusan pembayaran hutang-hutangnya sehingga ada aset PTS yang terpaksa dipindahmilik kepada penghutang.

Nota: Terma di atas adalah bagi menjamin harta inetelek pengarang-pengarang PTS tidak dapat dipindahmilikkan kepada penghutang PTS, seperti syarikat pencetak ataupun bank-bank.


Monday, October 26, 2009

Hak Memperdagangkan Karya Penulis


PTS mempunyai hak-hak berikut ke atas karya penulis PTS;

1. Hak menterjemah ke dalam semua bahasa dunia.

2. Hak melakukan adaptasi ke dalam buku komik, buku elektronik, animasi dll.

3. Hak menerbitkan semula dalam bentuk bersiri.

4. Hak menghasilkan bentuk drama pentas, filem, radio dan televisyen.

5. Hak melesenkan semula kepada penerbit lain.

Nota: Ini bermakna, sebagai contoh, jika ada mana-mana pihak hendak membuat filem ataupun animasi berdasarkan buku penulis PTS, penulis tidak boleh memberikan izinnya kepada pihak itu.

Penulis hendaklah memaklumkan perkara itu kepada PTS dan PTS akan merundingkannya bagi pihak penulis.


Sunday, October 25, 2009

Hak Mengeksport Lesen Penerbitan Buku PTS ke Jakarta


PTS aktif mempromosi judul-judul terbitannya kepada pelbagai penerbit Indonesia supaya mereka berminat melesen judul PTS bagi diterbitkan semula sebagai edisi Indonesia.

Ini dilakukan setiap tahun dengan cara menghantar pegawai-pegawai PTS ke Jakarta, Bandung, Surabaya dan Jogjakarta bagi berjumpa dengan penerbit Indonesia dan menunjukkan buku-buku PTS kepada mereka.

Pada saat entri ini ditulis, hampir 100 judul buku PTS sudah dilesenkan ke Jakarta.

Yuran pelesenan yang diterima daripada penerbit Indonesia dikongsi seperti berikut:

Pengarang PTS: 70%
PTS: 30%


Saturday, October 24, 2009

Hak Karya Bersaing


Penulis tidak mempunyai hak menulis untuk penerbit lain sebarang buku yang lebih kurang serupa isi kandungannya dengan bukunya yang diterbitkan oleh PTS.

Jika buku baru itu bertindan, maka hanya PTS yang berhak menerbitkannya.


Tuesday, September 29, 2009

Hak Mengedit


PTS berhak mengedit manuskrip penulis dan melakukan perkara-perkara berikut:

1. Menambah

2. Memotong

3. Meringkaskan

4. Menukar

5. Mengubah teks

Nota: Tujuan PTS adalah supaya buku yang diterbitkan itu nanti memenuhi standard, kualiti dan pakejing PTS.


Monday, September 28, 2009

Hak Memilih Desain Kulit Buku


Desain kulit buku-buku PTS disediakan oleh PTS.

Editor PTS berhak memilih designer dan desain kulit buku.


Sunday, September 27, 2009

Hak Menentukan Judul Buku


Hak menentukan judul buku adalah hak PTS.

Judul buku yang dicipta oleh penulis adalah judul cadangan. Judul itu mungkin diterima oleh PTS, ataupun mungkin dipinda, ataupun ditolak dan digantikan dengan judul ciptaan editor PTS sendiri.

Editor juga berhak menentukan judul-judul bab dalam buku.


Friday, September 25, 2009

Hak Moral Pengarang PTS


PTS menghormati hak moral pengarang dengan menyerahkan pruf terakhir buku mereka supaya mereka baca dan semak sendiri pruf itu, dan dipersetujui semua editing yang telah dilakukan oleh editor PTS.

Penulis hendaklah menyemak kata-demi-kata pruf itu dan mencatatkan semua pembetulan dengan dakwat merah.

Tempoh yang diberikan adalah 7 hari.


Thursday, September 24, 2009

Hakcipta Terjemahan


Hakcipta buku-buku edisi terjemahan adalah dipegang oleh penterjemah, melainkan hakcipta itu sudah dijual kepada PTS.

Apabila hakcipta itu sudah dijual kepada PTS, maka penterjemah akan dibayar harga terjemahan itu sekali sahaja.

Jika hakcipta itu tidak dijual kepada PTS, maka penterjemah akan dibayar mengikut sistem royalti.


Sunday, September 20, 2009

Hakcipta Komik-M


Hakcipta komik yang diterbitkan oleh PTS dipegang oleh pekomiknya.

Jika ceritanya ditulis oleh orang lain, hakcipta komik itu dikongsi oleh penulis cerita dan pekomik.


Wednesday, September 16, 2009

Hak Istimewa Penulis PTS


Berikut adalah hak-hak istimewa yang dinikmati oleh pengarang PTS:

1. Pengarang PTS berhak menerima 10 naskhah percuma bagi setiap judul buku yang diterbitkan. Jika penulis adalah 2 orang ataupun lebih, mereka berkongsi jumlah 10 naskhah itu.

2. Pengarang dapat membeli bukunya dengan potongan harga 35%.

3. Pengarang dapat membeli buku-buku lain terbitan PTS dengan potongan harga 35%.

4. Pengarang dapat membeli secara kredit buku-buku PTS. Kredit maksimum adalah RM2,000-00. Kredit akan dipotong daripada royalti pengarang.


Friday, September 4, 2009

Hak PTS Merahsiakan Maklumat Bisnes Pengarang


PTS merahsiakan semua maklumat bisnes pengarang-pengarang PTS.

Sekiranya berlaku perceraian, pihak yang cuba menuntut wang royalti penulis perlu mendapatkan perintah mahkamah bagi mengetahui maklumat berkenaan harta intelek yang dimiliki oleh pengarang PTS.

Nota: Sekiranya berlaku kematian, PTS menghantar royalti penulis kepada penama yang namanya tertulis dalam dokumen perjanjian penerbitan.


Thursday, September 3, 2009

Hak Memahami Terma Perjanjian


Penulis PTS berhak membaca dahulu dan memahami terma-terma yang terkandung dalam dokumen perjanjian penerbitan sebelum menandatanganinya.

Editor yang menguruskan manuskrip pengarang bertanggungjawab memberi penerangan berkenaan mana-mana terma yang tidak difahami oleh pengarang.


Sunday, August 30, 2009

Royalti


PTS menggalakkan penulis-penulisnya supaya tidak menjual harta intelek mereka.

1. PTS membayar royalti kepada penulis-penulisnya.

2. Royalti dibayar setiap tahun.

3. Royalti dikira berdasarkan berapa jumlah buku yang terjual bagi sesuatu tahun itu. Semakin banyak buku terjual maka semakin banyak royalti yang akan dibayar kepada pengarang.

4. Kadar royalti adalah berdasarkan harga buku yang tercetak pada kulit buku.

5. Kadar royalti juga bergantung kepada jenis buku. Ada buku yang royaltinya 5%, 7%, 10% dan 11%.

Editor yang menguruskan manuskrip penulis akan menerangkan kadar royalti yang ditawarkan kepada penulis.


Saturday, August 29, 2009

Tiada Layanan Istimewa Tentang Kadar Royalti PTS


PTS menawarkan kadar royalti yang serupa kepada semua pengarangnya.

Tiada kadar istimewa ditawarkan kepada pengarang yang mempunyai latar belakang istimewa seperti:

1. Berjawatan tinggi dalam kerajaan.

2. Mempunyai ijazah PhD.

3. Pernah menang hadiah dan anugerah.

4. Pengarang yang juga pemegang saham PTS.

5. Mempunyai gelar orang besar dan kenamaan.

6. Pernah menerbitkan karya dengan penerbit lain.

7. Pengarang yang bertugas di PTS.

8. Pengarang PTS yang bukunya paling banyak terjual.

9. Pengarang PTS yang sudah mempunyai banyak buku dengan PTS.

Semua pengarang PTS menikmati layanan yang serupa.

Ini bermakna PTS memberikan layanan istimewa kepada kualiti buku, bukan kepada siapa pengarangnya.

Sebagai contoh, sesetengah buku PTS dipilih supaya dicetak dengan kualiti premium, meskipun pengarangnya tidak pernah memenangi sebarang hadiah ataupun anugerah.


Thursday, August 27, 2009

Berkongsi Hakcipta dan Royalti antara Penulis


Banyak buku ditulis oleh 2 orang pengarang ataupun lebih.

Dalam kes begini royalti akan dikongsi oleh semua penulis. Bahagian royalti ditentukan oleh sebanyak mana sumbangan masing-masing pengarang.

Editor PTS dapat memberikan nasihat berkenaan porsi masing-masing pengarang.


Wednesday, August 26, 2009

Royalti Ilustrator Buku Nomik


Buku-buku 'nomik' (novel+komik) banyak diterbitkan oleh PTS untuk kanak-kanak dan awal remaja.

Novel jenis ini menggunakan banyak ilustrasi gaya komik, oleh itu hakciptanya dipegang bersama oleh penulis novel dan pelukis komik.

Royalti nomik dikongsi bersama oleh penulis novel dan pelukis komik.


Thursday, August 20, 2009

Royalti Terjemahan Karya Harta Awam


Apabila karya yang diterjemahkan itu sudah bertaraf harta awam (public domain), maka 100% royaltinya adalah menjadi hak penterjemah.

Karya warga negara United Kingdom (UK) menjadi harta awam selepas 50 tahun pengarangnya meninggal dunia.

Karya warga negara Amerika (US) menjadi harta awam selepas 75 tahun pengarangnya meninggal dunia.


Monday, August 17, 2009

Royalti Terjemahan Karya Kontemporari


Apabila buku yang diterjemahkan itu belum menjadi harta awam, pembahagian royalti antara penulis asal dan penterjemah adalah berdasarkan lesen hak terjemahan yang diberikan oleh penerbit asal.

Kelaziman amalan pada peringkat antarabangsa adalah seperti berikut:

Penterjemah 30%

Pengarang asal 70%


Sunday, August 16, 2009

Bagaimana Royalti Dikira


Royalti dikira berdasarkan jumlah sebenar buku yang terjual. Jadi, semakin banyak buku itu terjual, semakin banyak royalti yang dibayarkan kepada penulis.

Tempoh kiraan buku terjual adalah antara 1 Januari - 31 Desember setiap tahun.

Tarikh cek-cek royalti dihantar kepada penulis adalah mulai bulan Jun - Desember tahun berikutnya. Jadi, royalti bagi jualan tahun 2010 akan dibayar pada tahun 2011.

Nota: Maksud 'buku terjual' adalah jumlah buku yang keluar dari gudang PTS dan dihantar kepada agen dan kedai buku.


Saturday, August 15, 2009

Kadar Upah Terjemahan


Apabila PTS melantik penterjemah yang diupah, maka PTS mempunyai kadar upah terjemahannya sendiri.

Kadar PTS adalah terpakai di PTS sahaja.


Wednesday, July 8, 2009

Penama dalam Perjanjian Penerbitan


Penulis PTS dikehendaki memberikan nama 2 orang waris terdekat yang akan menerima dan menguruskan pembahagian wang royalti pengarang kepada waris-waris yang ditinggalkan sekiranya berlaku kematian.

Nama mereka akan dimasukkan dalam dokumen perjanjian penerbitan.


Friday, June 19, 2009

Menjadi Agen PTS


Tuan dan puan boleh memohon menjadi agen PTS.

Jika tuan membeli buku-buku PTS secara tunai, proses ini sangat cepat.

Jika tuan memohon supaya mempunyai akaun kredit dengan PTS, proses ini lebih lambat kerana PTS akan melakukan kajian risiko terlebih dahulu ke atas syarikat tuan.


Wednesday, June 17, 2009

Membeli Buku-buku PTS bagi Tujuan Bisnes


Bagi tuan dan puan yang berminat menjual buku-buku PTS, hubungi:

1. Tn. Zaharin Zain, pengurus jabatan jualan dan khidmat pelanggan PTS. HP 016 661 1470 ataupun zaharin@pts.com.my

2. Tn. Zain Aziz, timbalan pengurus jabatan jualan dan khidmat pelanggan PTS. HP 016 661 1478 ataupun zain@pts.com.my

Jika tuan membayar tunai harga buku yang tuan beli dari PTS, mereka dapat memberi potongan istimewa.


Friday, April 3, 2009

Kategori Novel PTS


PTS menerbitkan novel untuk semua kategori usia.

1. Novel awal remaja (8 - 12 tahun)

2. Novel remaja (13 - 16 tahun)

3. Novel chicklit Melayu (18 tahun)

4. Fiksyen sains awal remaja

5. Fiksyen sains remaja

6. Novel fantasi dan legenda

7. Novel cinta Islami

8. Novel sejarah

9. Novel terjemahan

10. Sastera Melayu klasik

11. Sastera dewasa


Tuesday, March 10, 2009

Mazhab Sastera PTS


Mazhab dan aliran sastera PTS adalah Teori dan Teknik Surah Yusuf.

Ini bermakna semua buku cerita dan novel PTS perlu ditulis menggunakan ciri-ciri penceritaan yang digunakan dalam Surah Yusuf.

Panduan tentang teknik surah Yusuf dapat dibaca di blog http:sasteraislami.blogspot.com

Dari masa ke masa PTS mengadakan kursus penulisan Teknik Surah Yusuf. Pengumuman tarikh kursus dapat diikuti di blog http://universitipts.com


Thursday, March 5, 2009

Ciri Cerita Syariah-compliant


PTS hanya menerbitkan novel kanak-kanak, remaja dan dewasa yang syariah-compliant, yakni mematuhi hukum halal-haram.

1. Cerita tidak boleh memberi kemenangan moral kepada pedosa. Sebagai contoh, pada hujung cerita watak-watak jahat mestilah akhirnya berubah menjadi orang baik.

2. Tidak ada babak-babak pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan muhrim.

3. Tidak ada babak-babak pasangan berjumpa dan bercakap-cakap berdua-duaan sahaja, pergi berdating, berpegang tangan, berasmara.

4. Tidak ada babak di mana anak-anak bercakap dengan cara dan kata-kata yang menyakiti hati ibu bapanya.

5. Tidak ada babak di mana isteri bercakap dengan cara dan kata-kata yang biadab kepada suami.

6. Tidak ada babak di mana perempuan meminta cerai daripada suami.

7. Tidak ada babak jenayah, sebagai contoh babak di mana watak-watak sedang merancang bagaimana mereka mahu merompak bank.

8. Tidak ada unsur di mana 'menjadi orang baik tidak berbaloi' yakni watak baik akhirnya menerima hukuman alam, manakala watak jahat hidup kaya.

9. Tidak boleh menceritakan kecantikan anggota tubuh badan perempuan jelita ataupun tubuh badan lelaki yang tampan.


Wednesday, February 25, 2009

Ciri-ciri Istimewa Buku-Buku Agama PTS


PTS menerbitkan 3 kategori buku-buku agama Islam:

1. Buku-buku agama untuk dibaca oleh orang-orang bukan Islam.


(a) Buku kategori ini tidak ada di dalamnya teks Arab. 

(b) Perkataan yang digunakan adalah 'Tuhan'. 

(c) Perkataan pinjaman Arab juga tidak digunakan.

2. Buku-buku agama untuk orang yang Islamnya sangat lemah.


(a) Buku kategori ini tidak ada di dalamnya teks Arab. 

(b) Perkataan 'Tuhan' dan 'Allah' digunakan, tetapi 'Tuhan' lebih banyak.

(c) Istilah-istilah Arab yang klasik digantikan dengan frasa Melayu.

3. Buku-buku agama untuk orang Islam yang pengetahuan Islamnya sudah kukuh.


Buku kategori ini memasukkan teks Arab dan istilah-istilah Arab.


Wednesday, January 21, 2009

Pasukan Penterjemah PTS


PTS mempunyai senarai penterjemahnya sendiri yang sudah diberi latihan oleh PTS sendiri.

Apabila PTS memerlukan penterjemah tambahan, maka PTS akan menjalankan latihan untuk mendapatkan penterjemah baru.

Semua penterjemah PTS wajib mengambil ujian PTS, dan mengikuti latihan PTS, tanpa mengambil kira mereka sudah memiliki sijil ataupun diploma penterjemahan daripada organisasi lain.


Saturday, January 17, 2009

Proses Memilih Judul Terjemahan


PTS hanya menterjemah buku-buku yang laku dijual dalam kedai-kedai buku.

Semua judul terjemahan dipilih oleh PTS sendiri. Judul-judul itu dipilih berdasarkan populariti judul-judul asal itu dalam pasaran.

Urusan mendapatkan lesen hak menterjemah adalah diuruskan oleh PTS.


Friday, January 16, 2009

Ciri-ciri Komik-M PTS


PTS menerbitkan siri komik yang diberi nama "Komik-M".

Komik-M adalah singkatan Komik-Malaysia.

Komik-komik terbitan PTS wajib menggunakan:

1. Bahasa Melayu Tinggi

2. Ceritanya mematuhi syariah

3. Lukisannya mematuhi syariah

Ini bermakna, lukisan dalam Komik-M tidak boleh:

1. Menunjukkan aurat perempuan, termasuklah pakaian ketat.

2. Tidak boleh menunjukkan adegan ganas, khususnya yang melibatkan pembunuhan.